NIBONG TEBAL: Seorang wanita maut dipercayai dirogol dan dibunuh sebelum mayatnya disembunyikan di bawah katil di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Wanita berusia 40 tahun itu dipercayai diperkosa seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam rumahnya dalam kejadian pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Lee Chong Chern berkata, kejadian disedari kenalan mangsa yang datang ke rumah teres dua tingkat berkenaan untuk bertemu dengannya pada jam 3 petang.

Bagaimanapun saksi terkejut sebaik melihat seorang lelaki bermotosikal keluar dari rumah mangsa sebelum dia menghubungi kakak mangsa.

Pemeriksaan polis kemudiannya mendapati rumah mangsa berada dalan keadaan berselerakan dan mayat wanita itu ditemui terbaring di bawah katil di dalam bilik tingkat bawah.

Chong Chern berkata, hasil maklumat beberapa saksi, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun ketika bersembunyi di Changkat Sungai Jawi, Nibong Tebal.

Ujian saringan air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis syabu dan semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan dadah.

Hasil siasatan ke atas suspek mendapati sehari sebelum kejadian dia pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira jam 6 petang.

Suspek kemudiannya meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar di kawasan taman perumahan itu sebelum menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang.

Suspek yang melihat mangsa sedang tidur di atas katil bertindak merogol dan meliwat mangsa.

Chong Chern berkata, mangsa menjerit dan melawan sebelum suspek menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan.

“Suspek kemudiannya mendapati mangsa tidak bergerak dan sudah tidak bernyawa bertindak menyembunyikan mangsa di bawah katil.

“Malah suspek turut mengaku mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa sebelum keluar dari rumah itu, namun telah membuangnya ke dalam sungai,” katanya lagi.

Chong Chern berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap di Nibong Tebal bagi melakukan bedah siasat selepas keputusan ujian COVID-19 diperolehi.