Kesemua mayat tiga lelaki, yang terjatuh ke dalam sebuah tangki minyak selepas satu letupan berlaku di sebuah kilang di Rawang, ditemui hari ini.

Mayat mangsa terakhir T. Baskaran, 49, ditemui pada 6.09 petang ini, kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul.

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menemui mayat Mohd Ziehafizan Abd Rahman, 28, dan Zamri Adenan, 35.

"Kesemua mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak kilang berkenaan untuk tindakan selanjutnya," kata hari ini.

Beliau berkata mayat Mohd Ziehafizan, yang merupakan penyelia kawasan, serta mayat Zamri dan Baskaran yang bekerja sebagai juruteknik, akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata isipadu minyak diesel yang banyak sehingga 725,000 liter menyukarkan proses membawa keluar mayat ketiga-tiga mangsa itu.

Beliau berkata kira-kira 13 lori tangki digunakan untuk mengeluarkan minyak diesel yang terdapat di dalam tangki setinggi 4.26 meter itu.

"Usaha mengeluarkan minyak mula dilakukan pada kira-kira 10 malam tadi. Kesemua mangsa itu ditemui petang ini dan punca letupan itu masih lagi disiasat," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di tangki minyak itu sebelum berlaku letupan yang mengakibatkan mereka terjatuh ke dalam tangki berkenaan.

-- BERNAMA