MALAYSIA
MB Johor lawat Singapura di bawah Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew

Antara lain, Onn Hafiz (gambar) dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong semasa lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula hari ini. - Gambar fail/BERNAMA
SINGAPURA: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura bermula hari ini atas jemputan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.
Menurut Kementerian Luar Singapura, Onn Hafiz turut mengadakan lawatan itu sebagai penerima Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF).
Beliau merupakan penerima LKYEF ke-82 dan yang kesembilan dari Malaysia.
"LKYEF, yang ditubuhkan sejak 1991, menjemput tokoh-tokoh terkemuka untuk melawat Singapura. Pemilihan dibuat berdasarkan rekod pencapaian dan potensi mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara masing-masing serta pengukuhan hubungan dua hala dengan Singapura," menurut kenyataan kementerian itu pada Selasa.Semasa lawatan, Onn Hafiz dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong.
Beliau juga akan bertemu Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial merangkap Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung; Menteri Pembangunan Negara, Chee Hong Tat; Pemangku Menteri Pengangkutan, Jeffrey Siow serta Pengerusi LKYEF, Lee Tzu Yang.
"Beliau akan menerima taklimat dan mengadakan lawatan tapak berkaitan pembangunan bandar serta pengurusan penjaja," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami