KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor telah memberi jaminan untuk menangguhkan proses penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan kesemua isu yang dibangkitkan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, parti berpuas hati dengan jaminan itu setelah menerima penjelasan Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian yang bermesyuarat malam tadi.

"Biro Politik Keadilan malam ini telah menerima pandangan dan penjelasan dari Datuk Seri Amiruddin Shari dan Loy Sian, berhubung isu penyahwartaan HSKLU.

"Biro Politik telah menegaskan bahawa keputusan perlu berpegang kepada beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar; urus tadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik; serta kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimumkan," katanya dalam satu kenyataan pada malam Rabu. 

BACA: MB Selangor diminta beri penjelasan keputusan nyahwarta HSKLU - Anwar Ibrahim

Prinsip asas berkenaan juga termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor dan badan-badan bukan kerajaan.

Mengenai projek pembinaan Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), Fahmi berkata, Menteri Besar memberi jaminan bahawa kerajaan negeri belum memberi apa-apa kelulusan  dan pihak PJD Link wajib melalui proses pendengaran awam semula dengan semua pemegang taruh selain kembali kepada kerajaan negeri untuk proses seterusnya.

"Mesyuarat malam ini juga telah membangkitkan isu cadangan pembinaan PJD Link. Menteri Besar telah menjelaskan bahawa PJD Link merupakan cadangan semula pihak swasta bagi menggantikan projek yang sebelum ini dikenali sebagai Kinrara-Damansara Expressway (KIDEX), iaitu sebuah projek Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri hanya terlibat dalam isu-isu berkaitan kelulusan tanah.

"Menteri Besar juga telah menjelaskan bahawa pihak PJD Link harus melaksanakan perundingan awam bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berkaitan isu-isu teknikal serta kesan-kesan sosial yang mungkin timbul daripada projek ini," ujarnya. 

BACA: Nyahwarta HSKLU: Kerajaan Selangor telah ambil kira semua aspek - Jabatan Perhutanan