PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada ekoran peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi oleh penjenayah dan mereka yang cuba menganggu gugat keselamatan awam serta keharmonian negara.

Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata terdapat beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara.

Justeru, katanya tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan oleh pihak pengawal selia diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam.

"MCMC sebagai badan kawal selia industri tertumpu di Malaysia akan turut mengkaji semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada.

"Ini termasuklah kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah segera bagi memastikan aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Salim berkata pihak pengawal selia dan rakan industri di Singapura, Vietnam dan Indonesia baru-baru ini telah atau dalam proses menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal selia serta menjenayahkan aktiviti penipuan dalam sesetengah platform.

Beliau berkata sejak penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober lepas 11,858 aduan berkaitan dengan penipuan telah diterima setakat April 2023.

Menurutnya perangkaan yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh antara 2021 sehingga April 2023 pula mendedahkan jumlah kerugian akibat scam mencecah sehingga RM1.2 bilion.

Beliau berkata bagi tempoh yang sama juga, jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada MCMC adalah sebanyak 2,125.

Setelah meneliti bilangan kes penyalahgunaan dan ancaman yang timbul akibat sikap lepas tangan oleh penyedia platform, katanya pihak MCMC berpendapat wujud keperluan untuk menguatkuasakan kewajipan terhadap mereka yang mengendalikan platform sedemikian dan pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi, untuk mengambil langkah tegas.

"MCMC tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan scam, aktiviti siber yang berniat jahat, penipuan, phishing, kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum serta penghinaan terhadap institusi Diraja," katanya.

Mohamad Salim berkata tindakan bersama dan usaha diambil MCMC adalah untuk memastikan masyarakat dilindungi dan mempunyai persekitaran yang selamat dalam alam digital.

"Langkah berkenaan akan dapat memastikan rasa kebertanggungjawapan yang lebih tinggi dan hormat kepada kedaulatan nasional dan pada masa yang sama, memperkasakan perlindungan kepada pengguna terhadap kemudaratan dalam talian, termasuk scam dan aktiviti penipuan," katanya. - BERNAMA