KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik tiga individu termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa Ahad.

Turut dilantik bekas Peguam Besar Negeri Sarawak Datu Abdul Razak Tready dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Pejabat Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa pelantikan itu adalah mengikut Subseksyen 5(1) (f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).

"Pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun mulai 4 Sept 2022 hingga 3 Sept 2024 bagi menggantikan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham, Datuk Stephen Chung Hian Guan dan Profesor Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin yang telah tamat perkhidmatan mereka pada 3 Sept lepas," katanya.

Selain itu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar dilantik semula sebagai anggota suruhanjaya tersebut bagi tempoh sama.

"Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan Datuk Dr Prasad, Datuk Stephen Chung dan Datuk Dr Johan Shamsuddin yang telah tamat perkhidmatan mereka pada 3 Sept lepas semasa tempoh mereka menjadi anggota suruhanjaya ini," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA