Pejabat Ketua Menteri Sarawak akan memaklumkan kepada pihak media menerusi Jabatan Penerangan Sarawak jika ada perkara yang hendak diumumkan atau sama ada majlis melibatkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud memerlukan liputan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Sarawak Samuel Simon berkata arahan itu telah dikeluarkan kepada jabatan berkenaan.

"Sukacita dimaklumkan bahawa jabatan ini telah pun diarah oleh Pejabat Ketua Menteri untuk memohon kerjasama supaya tidak menghantar wartawan, jurufoto dan jurukamera pada sebarang masa untuk membuat liputan ke atas ketua menteri tanpa sebarang makluman," katanya menerusi kenyataan kepada semua media, di sini hari ini.

Kebiasaannya, Jabatan Penerangan Negeri akan mengeluarkan aturcara semua majlis yang akan berlangsung termasuk majlis melibatkan ketua menteri melalui hebahan 'Nota Kepada Pengarang'.