KUALA LUMPUR: Algoritma dan kecerdasan buatan (AI) bukan ancaman kepada dunia kewartawanan, sebaliknya cabaran baharu yang perlu difahami agensi media bagi memastikan berita sahih terus sampai kepada masyarakat.
Pensyarah Komunikasi Sosial yang juga Penganalisis Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sauffiyan Abu Hasan berkata, organisasi media, perlu mengambil peluang menguasai teknologi itu bagi memperluas capaian berita tepat serta membina persepsi masyarakat yang lebih positif.
“Cabaran media hari ini ialah memahami bagaimana algoritma berfungsi dan bagaimana ia boleh membantu meluaskan penyampaian berita yang telah dihasilkan.
“Kalau berita yang sahih tidak sampai kepada masyarakat, ruang itu akan diisi dengan maklumat lain yang mungkin tidak tepat,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Berita sebagai Kompas Persepsi” terbitan Bernama TV di Wisma Bernama, malam tadi.
Beliau berkata algoritma memainkan peranan besar, dalam menentukan kandungan yang diterima pengguna berdasarkan corak interaksi mereka di platform digital.
Sehubungan itu, katanya, organisasi media perlu memperkasakan strategi penulisan berita dengan mengadunkan elemen visual, video pendek serta teknik penceritaan yang menepati kehendak algoritma semasa.
“Kita tidak boleh lagi sekadar meletakkan berita di laman web dan membiarkannya berlalu begitu sahaja.
"Pihak media perlu menyebarkannya secara lebih agresif di media sosial dengan menggunakan visual dan sebagainya, bagi membolehkan algoritma membawa berita tersebut kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Mengulas penggunaan AI dalam kewartawanan, Ahmad Sauffiyan berkata, teknologi itu boleh membantu memperkemas proses kerja wartawan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengamal media agar tidak meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi berkenaan, sebaliknya perlu sentiasa berpaksikan kepada prinsip “fikir dulu baru AI.”
“AI memang dapat membantu, namun kita tidak boleh serahkan segalanya kepada teknologi. Keputusan dan penilaian masih perlu datang daripada wartawan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan organisasi media untuk terus mengekalkan prinsip kewartawanan berintegriti, dengan memastikan setiap penyampaian maklumat berasaskan fakta dan tidak dipengaruhi unsur berat sebelah demi mengekalkan kepercayaan masyarakat.
-- BERNAMA