MELAKA: Melaka berhasrat membuka sekolah khas untuk mendidik kanak-kanak autisme bagi golongan kurang mampu, kata Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Nordin.

Beliau berkata ketika ini terdapat keluarga dalam kalangan B40 yang tidak mampu menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak autisme memandangkan ia membabitkan kos tinggi jika menghantar anak mereka ke pusat jagaan swasta.

"Saya tahu ia agak sukar untuk dilakukan kerana ia melibatkan sejumlah peruntukan yang besar kerana perlu menyediakan prasarana serta petugas khusus untuk mendidik anak-anak ini.

"Antara kriteria pusat jagaan tersebut termasuklah perlu mempunyai sebuah bilik khas bagi menenangkan anak-anak autisme selain seorang guru hanya akan menjaga empat anak autisme ini," katanya ketika ditemui di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di sini semalam.

Beliau berkata jika projek berkenaan dapat direalisasikan, beliau yakin kerajaan negeri hanya akan mengenakan yuran dengan jumlah minimum bagi membantu ibu bapa mendapatkan pendidikan terbaik kepada anak-anak austisme mereka.

Kalsom berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan hasrat tersebut.

-- BERNAMA