KUALA LUMPUR: Negara khususnya masyarakat India hari ini kehilangan seorang negarawan yang tiada galang gantinya - Tun S Samy Vellu.

Begitu banyak sumbangan tokoh politik berusia 86 tahun ini kepada negara, yang sudah tentu sukar untuk tafsirkan dengan kata-kata.

Bekas Presiden paling lama yang berkhidmat kepada MIC itu pernah mengakui, selepas hampir 32 tahun memimpin parti itu, era kepimpinannya adalah "suatu yang sukar, penuh ujian dan mencabar".

Tetapi apa yang dikecapi Malaysia dan kaum India hari ini merupakan antara jerih payah hasil perjuangan dan pengorbanan Samy Vellu, dan ia perlu disyukuri.

PERJALANAN KARIER

Foto/fail


Memetik laman web MIC, kerjaya politik Samy Vellu bermula pada tahun 1959 ketika berusia 23 tahun apabila beliau dan Datuk V. Govindaraj menyertai MIC cawangan Batu Caves.

Selepas lima tahun, beliau dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MIC Selangor dan ketua parti.

Pada tahun 1974, Samy Vellu buat pertama dipilih untuk bertanding pada pilihan raya umum dan beliau memenangi kerusi Parlimen Sungai Siput.

Beliau menyandang kerusi tersebut sehingga pilihan raya umum 2008 apabila dikalahkan oleh Dr Michael Jeyakumar Devaraj iaitu calon Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas tiket DAP dengan majoriti 1,821 undi.

ANGGOTA KABINET

Foto/Bernama


Samy Vellu, antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat iaitu selama 25 tahun dan mula mengganggotai barisan Jemaah Kabinet pada tahun 1978 sebagai Timbalan Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan.

Arkitek bertauliah itu kemudian dilantik sebagai Menteri Kerja Raya yang dipegangnya paling lama iaitu dari tahun 1979 sehingga 1989, dan kembali ke kementerian itu pada 1995 hingga 2008.

Ketika menjawat jawatan tersebut, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya dan pengangkutan dalam negara termasuk memainkan peranan dalam pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan serta pembinaan Jambatan Pulau Pinang.

Mendiang juga pernah menerima anugerah 'International Man of the Year Award' oleh The International Road Federation (IPF).

Selain itu, Samy Vellu menerima pelbagai anugerah dari negara luar termasuk Pingat Gwang Hwa dari Korea Selatan, Grand Officer of the Order of the Merit dari Itali dan anugerah Bharatiya Samman yang berprestij daripada Perdana Menteri India, Atal Bihari Vajpaye berdasarkan sumbangan disapora pada 2003.

Dari tahun 1989 hingga 1995 pula, beliau menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos.

Sejarah terlakar pada tahun 1995 apabila satelit pertama Malaysia dilancarkan, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perkembangan bidang penyiaran.

Dan, Samy Vellu antara sosok penting yang menyumbang kepada idea tersebut.

Pada tahun 2017, mendiang Samy Vellu antara tiga penerima yang dianugerahkan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M.), anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun.

SUMBANGAN KEPADA MASYARAKAT INDIA

Foto/fail


Samy Vellu dilantik sebagai pemangku Presiden MIC susulan kematian Tan Sri V. Manickavasagam pada 13 Sept 1979.

Ketika itu, Tun Hussein Onn merupakan Perdana Menteri ketiga Malaysia.

Mendiang Samy Vellu merupakan Presiden MIC ketujuh yang berkhidmat dari tahun 1979 hingga 2010.

Anak kepada penoreh getah itu melepaskan jawatan sebagai Presiden MIC pada usia 74 tahun dan memberi laluan kepada timbalan beliau ketika itu, Datuk G. Palanivel.

Sebagai salah satu parti tertua di Malaysia, MIC menjadi lidah utama buat kaum India dalam meluahkan keinginan kepada kerajaan. 

Sepanjang menerajui MIC - yang merupakan salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN), Samy Vellu banyak membantu dalam bidang pendidikan, ekonomi serta sosial dan keagamaan kaum India di negara ini.

Memetik temu bual dengan fz.com, Samy Vellu berkata pada era kepimpinannya, beliau telah menubuhkan Maju Institute of Educational Development (MIED).

"Masalah pendidikan orang India telah diuruskan oleh MIC semasa saya menjadi Presiden. Kami membelanjakan RM120 juta untuk mendidik (orang India) dengan membina kolej dan universiti.

"Kami telah melatih 45,000 pelajar India untuk dalam bidang pertukangan, malah kami memberikan biasiswa," katanya dalam temu bual yang disiar semula oleh The Egde pada Mac 2013.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe di Seremban, Asian Institute of Medicine, Science and Technology (Aimst) dan Koperasi Didik.

Di bidang pembangunan ekonomi kaum India pula, Samy Vellu antara yang terlibat dalam penubuhan Maika Holdings serta Workers Housing Cooperative Society.

Manakala dari segi sosial, beliau turut terlibat dalam penubuhan Yayasan Strategik Sosial (YSS) dan Yayasan Pemulihan Sosial.

Di sebalik perjalanan politik yang hebat, siapa sangka Samy Vellu pernah menjadi pelakon drama Tamil "Natpu" pada tahun 1954, dan penyampai berita di RTM pada taun 1964.

*** Jasad mendiang Tun S Samy Vellu dijangka dibakar di Krematorium DBKL, Cheras sekitar pukul 4 petang esok (Jumaat, 16 September).