Menurut Datuk Seri Mustapa Mohamed yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Pertanian pada tahun 2008, keprihatinan Allahyarham terhadap sektor itu telah memberi impak luar biasa kepada pembangunan pertanian negara.
“Di bawah kepimpinan Pak Lah, berlaku peningkatan besar dalam peruntukan kepada sektor pertanian. Bangunan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang juga dibina semasa zaman beliau dan pada 2008, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) pertama di MAEPS telah diadakan dengan penglibatan aktif beliau sendiri selaku Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mustapa yang mesra disapa sebagai Tok Pa berkata, Allahyarham sentiasa meluangkan masa untuk memantau sendiri persiapan pameran MAHA 2008 dan memastikan ia berjalan lancar serta memberi manfaat besar kepada petani, usahawan dan rakyat secara keseluruhan.
Menurut beliau, jasa Pak Lah terhadap negara cukup besar termasuk menaikkan gaji penjawat awam dengan kadar tertinggi.
Ujarnya, Allahyarham turut memperkenalkan Islam Hadhari dan mata pelajaran Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF).
Mengimbau hubungan rapatnya dengan Allahyarham, Mustapa berkata beliau mula bekerjasama secara dekat dengan Pak Lah sejak 1998 ketika Allahyarham menjadi Menteri Luar Negeri, manakala beliau sendiri Menteri Kewangan Kedua.
Jelasnya, Allahyarham turut memberi kepercayaan kepada beliau untuk memimpin pelbagai kementerian penting termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 2004 dan Kementerian Pengajian Tinggi pada 2006.
“Saya dipertanggungjawabkan untuk menggubal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di bawah kepimpinan beliau dengan penekanan kepada pembangunan modal insan, nilai-nilai sejagat dan pembangunan infrastruktur.
“Pak Lah bukan sahaja pemimpin berjiwa besar dan sederhana, malah seorang yang sangat telus, mendengar pandangan, tidak pernah meninggi diri dan pintu pejabatnya sentiasa terbuka. Beliau benar-benar pemimpin untuk rakyat,” katanya.
