KUALA LUMPUR: Hujahan berhubung permohonan semakan kehakiman yang difailkan Badan Peguam Malaysia bagi mencabar perintah tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan didengar pada 17 Mac 2027.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya telah membangkitkan bantahan terhadap permohonan itu semasa pendengaran kebenaran untuk semakan kehakiman pada 12 Nov lalu.
Menurut AGC, bantahan berkenaan dibuat atas alasan keputusan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar melalui proses kehakiman atau bersifat non-justiciable.
"Badan Peguam Malaysia telah memfailkan Permohonan Semakan Kehakiman bagi mencabar perintah 'tahanan di rumah' atau 'penahanan di rumah' terhadap Najib yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-64," menurut kenyataan itu.
AGC berkata, hujahan pihak-pihak berkaitan perkara tersebut dijadual didengar pada 17 Mac tahun depan.
Dalam masa sama, jabatan itu menegaskan akan terus mempertahankan institusi diraja serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil.
Sebelum ini, Badan Peguam Malaysia memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar perintah tahanan rumah yang diberikan kepada Najib susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Susulan itu, AGC membantah permohonan Badan Peguam Malaysia tersebut kerana keputusan yang dipertikaikan itu berkaitan dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong ketika mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang tidak boleh diadili oleh mahkamah.