KUALA LUMPUR: Penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) adalah hasil cetusan idea Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan antara legasi terbesar Allahyarham semasa menjadi Perdana Menteri kelima.

Bekas Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penubuhan UMK diumumkan sendiri oleh Allahyarham di Parlimen sebelum beliau diamanah untuk melaksanakannya.

“Sebagai Menteri Pengajian Tinggi ketika itu, saya dipertanggungjawab untuk menubuhkan UMK, dan ia kekal menjadi antara pencapaian paling bermakna buat saya secara peribadi,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI bagi mengimbau hubungannya dengan Allahyarham apabila bekerja rapat sejak 1998.

Menurutnya, beliau bekerja rapat dengan Tun Abdullah sejak era reformasi apabila Allahyarham dilantik sebagai Menteri Luar Negeri, sementara beliau sendiri menjawat jawatan Menteri Kewangan Kedua ketika negara berdepan Krisis Kewangan Asia Timur 1998/1999.

“Pak Lah banyak membantu saya mengemudi cabaran global ketika itu. Beliau seorang pemimpin yang sangat mesra, ikhlas, terbuka, pemurah dan telus dalam memberi nasihat. Seorang yang sederhana, berintegriti dan sentiasa bersedia mendengar.”

Tambah beliau yang mesra disapa dengan gelaran Tok Pa, Allahyarham turut memberi tanggungjawab penting untuk merapatkan hubungan antara kerajaan dan golongan mahasiswa serta pensyarah pada waktu kumpulan itu sangat bersikap kritikal terhadap kerajaan.

“Arwah adalah pendengar yang baik dan juga seorang ketua yang baik. Beliau memberikan saya tanggungjawab untuk merapatkan hubungan dengan pelajar universiti dan pensyarah pada ketika kumpulan ini sangat anti-establishment, inilah perkongsian saya sebagai seorang sahabat” ujarnya.