AGENDA Pemerkasaan Keluarga Malaysia yang merupakan Fokus Keenam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) turut menumpukan pembangunan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pelbagai bidang, termasuklah keusahawanan dan pekerjaan.

Perencanaan pelbagai inisiatif seperti program Keusahawanan OKU dan perkhidmatan Pusat Khidmat Berdikari membuktikan kesediaan, keprihatinan dan kepekaan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob terhadap aspek pembangunan golongan OKU.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa mengilhamkan agenda-agenda berimpak tinggi buat golongan OKU, lebih-lebih lagi dalam memastikan aspek penyampaian dan penyaluran bantuan buat segmen ini dapat diberi nilai tambah dari semasa ke semasa di samping mewujudkan kesinambungan yang boleh memanfaatkan mereka bagi jangka masa panjang.

Sebagai alternatif baharu untuk meningkatkan pendaftaran golongan OKU nasional, KPWKM, menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), telah memformulasikan sebuah resolusi berdigital dengan jenama ‘MyDaftar OKU’ yang bertujuan untuk mempermudahkan urusan serta proses pendaftaran golongan OKU di seluruh negara.

Mendukung hasrat RMKe-12 yang menginginkan Malaysia berdiri sebagai sebuah negara berteknologi tinggi, inisiatif MyDaftar OKU ini akan memacu hasrat tersebut menerusi penerapan elemen-elemen digital yang boleh meningkatkan capaian akses golongan OKU kepada kemudahan-kemudahan awam yang mesra OKU di sekitar mereka.

Penggunaan kod QR yang terdapat pada platform MyDaftar OKU ini akan membolehkan mereka berurusan dengan lancar di mana-mana pusat perkhidmatan awam termasuklah stesen-stesen LRT dan pengangkutan awam yang lain termasuk e-hailing.

Di samping itu, pelaksanaan MyDaftar OKU ini juga akan meningkatkan lagi keberkesanan JKM dalam memperuntukan bantuan-bantuan khas OKU buat mereka yang selama ini terasing daripada perhatian JKM.

Dengan adanya nama-nama OKU yang berdaftar dalam sistem khas yang dikendalikan oleh JKM tersebut, urusan-urusan perhubungan serta pengenalpastian dapat dilakukan dengan lebih teratur, tersusun dan sistematik. That is why technology means a lot to us.

Mendepani cabaran luar jangka era endemik kelak, aspek kebajikan serta pembangunan OKU memerlukan kepekaan yang tinggi daripada kerajaan, khususnya dalam soal penyediaan bantuan bulanan khas OKU yang sentiasa menjadi isu tumpuan dalam perihal kebajikan OKU.

Seperti MySejahtera, MyDaftar OKU ini juga akan menyediakan informasi-informasi terkini berkaitan bantuan-bantuan kerajaan serta manfaat-manfaat lain yang tersedia buat golongan OKU, khususnya yang melibatkan perihal pengangkutan awam, pendidikan tinggi, keusahawanan dan sebagainya.

Menerusi MyDaftar OKU, urusan pengendalian penyerahan Kad OKU kepada pemohon akan menjadi lebih pentas dan efisyen berbanding sebelum ini.

Sebab itu, inisiatif MyDaftar OKU ini diilhamkan sebagai pengganti terbaik kepada Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) yang sekian lama menjadi platform pendaftaran bagi golongan OKU.

Sebagai persediaan bagi menjayakan pembinaan Keluarga Malaysia yang Makmur, Iklusif, Mampan, KPWKM serta JKM akan menggandakan promosi dan libat urus di setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, bagi meningkatkan kefahaman serta kesedaran awam, khususnya komuniti setempat, mengenai peri pentingnya pelaksanaan MyDaftar OKU ini kepada pembangunan golongan OKU dalam pelbagai aspek kehidupan.

Keprihatinan dan kebersamaan masyarakat setempat dalam mendorong dan menggalakkan OKU dari kalangan sahabat handai, saudara mara serta jiran tetangga mereka untuk memanfaatkan platform MyDaftar OKU amat diperlukan.

Sebagai pengemudi inisiatif ini, saya mengharapkan agar penglibatan dan kerjasama semua pihak dalam menjayakan aspirasi pembangunan OKU nasional dapat direalisasikan dengan adanya platform MyDaftar OKU yang akan menjadi penghubung erat antara kerajaan dengan golongan OKU yang berdaftar.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Menjadi cita-cita besar saya untuk melihat warga OKU Malaysia dibangunkan secara inklusif dalam semangat Keluarga Malaysia yang menjadi cita-cita kita bersama kita.

Alhamdulillah, pagi tadi, bertempat di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Melaka, saya telah merasmikan Majlis Pelancaran Sistem Pendaftaran OKU Secara Atas Talian (MyDaftar OKU).

Dengan pelancaran tersebut, inisiatif berimpak tinggi ini akan mula menjadi platform rasmi bagi urusan pendaftaran warga OKU nasional.



* Datuk Seri Rina Mohd Harun ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Rakyat (Titiwangsa).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.