KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan berhubung kebenaran ibadah haji akan dimaklumkan selepas perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata beliau akan ke Arab Saudi pada Jumaat untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut.

"Saya akan ke Arab Saudi pada Jumaat ini, bagi mendapat satu penjelasan lebih baik.

"Itu kita tunggu keadaan dahulu, dengan keadaan semasa masih belum surut lagi kita sentiasa menanti kebijaksanaan pihak Kerajaan Arab Saudi untuk menentukannya," katanya selepas menerima lawatan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia di Menara Tabung Haji, di sini pada Selasa.

Tambahnya, setiap umat Islam sudah tentu berharap agar dapat mengerjakan ibadah haji pada tahun ini selepas penangguhan pada 2020 susulan pandemik COVID-19.

"Semua jemaah haji di dunia termasuk saya, tuan-tuan, sentiasa menginginkan ke kota suci Mekah tapi kita juga memahami pandemik COVID-19 cukup mencabar ini.

"Walau apa pun keputusan, kita terima dan kita akan uar-uarkan dan khabarkan kepada khalayak selepas mendapat keputusan," ujarnya lagi.

[TERKINI] Pertemuan Menteri Agama dan Duta Arab Saudi

9 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia menerima 10,000 tambahan kuota rasmi haji yang akan dilaksanakan selepas wabak COVID-19 terkawal.

Perkara itu dipersetujui Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohamed Raja Salman dalam pertemuan mereka di Istana Al Yamamah di Riyadh sempena lawatan rasmi Muhyiddin ke negara Asia Barat itu.