SHAH ALAM: Semua pihak digesa tidak memberikan sebarang kenyataan bersifat spekulatif yang boleh mengelirukan mahupun mencetuskan kegusaran kepada orang awam berhubung cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia berikutan kenyataan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang beranggapan bahawa pindaan itu tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Menurutnya, semua pihak perlu merujuk Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan yang selaras dengan peruntukan tersebut bahawa Mahkamah Syariah telah ditubuhkan melalui akta, enakmen atau ordinan di negeri-negeri.

"Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang beragama Islam dan cuma berkenaan dengan semua perkara termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan undang-undang Persekutuan. Selaras dengan peruntukan ini, Parlimen telah membuat Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah.

"Saya nasihatkan jangan beri sebarang kenyataan tatkala ia masih belum dibentangkan di Parlimen. Semua ahli Parlimen akan diberikan ruang yang secukupnya bagi membahaskan berkenaan pindaan ini apabila ia dibentangkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pertengahan Mac lalu, MCCBCHST menggesa Peguam Negara campur tangan terhadap langkah kerajaan Kelantan untuk menggubal semula peruntukan jenayah syariah yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata, walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, namun hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan iaitu.

"Cadangan meminda akta ini bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dengan menaikkan kadar hukuman yang pada masa ini hanya terhad kepada pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

"Kadar hukuman ini ditetapkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 1984 melalui Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) (Amendment) Act 1984 [Act A612], kini telah hampir 40 tahun berlalu, namun kadar hukuman sedia ada yang diperuntukkan dalam akta tersebut tidak lagi pernah dipinda.

"Kadar hukuman yang diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tersebut didapati sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa," katanya lagi.

Tambah Mohd Na'im, sebarang cadangan pindaan yang dibuat tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Badan Perundangan Negeri.

"Ia dibuat melalui sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan di negeri-negeri dan mengambil kira semua sudut pandang termasuk aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

"Apa jua cadangan pindaan yang dibuat kepada Akta ini kelak pastinya adalah di dalam ruang lingkup dan kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Na'im turut menasihatkan semua pihak menjunjung tinggi titah Sultan Selangor pada 29 Disember lalu agar rakyat Malaysia khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Kenyataan MCCBCHST berbaur hasutan isu 3R - Pas

Sementara itu, Pas menyifatkan kenyataan MCCBCHST mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) jelas satu tindakan hasutan melibatkan isu 3R (agama, institusi raja dan kaum).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, MCCBCHST tidak mempunyai sebarang 'locus standi' untuk memberi pandangan atau mengemukakan bantahan terhadap cadangan pindaan tersebut.



Malah pendirian MCCBCHST menyatakan cadangan berkenaan tidak berperlembagaan kerana akan mewujudkan dua sistem jenayah di negara ini juga tersasar dan menggambarkan kejahilan pemahaman undang-undang yang ketara.

"Ia bukan semata-mata isu perlembagaan seperti yang didakwa, bahkan merupakan isu hal ehwal agama Islam.

"Pas sekali lagi menggesa Putrajaya supaya segera memberikan respons terhadap kenyataan MCCBCHST yang memang songsang dan tersasar sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, Presiden MCCBCHST, Tan Hoe Chieow mempertahankan pendirian badan itu mengenai cadangan pindaan tersebut dengan menjelaskan kenyataannya baru-baru ini semata-mata melibatkan perkara Perlembagaan dan tiada kaitan dengan agama Islam.

Hoe Chieow mendakwa, pindaan yang dicadangkan itu akan menyebabkan dua sistem undang-undang jenayah wujud antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, sekali gus bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak orang bukan Islam.

Dalam pada itu Takiyuddin menjelaskan, sistem berkembar undang-undang telah wujud serta dipraktikkan di Malaysia dengan kewujudan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang mana Mahkamah Persekutuan tidak menghapuskan kuasa gubalan negeri secara total atas kesalahan tidak termasuk dalam senarai Persekutuan.

Justeru ujarnya, cadangan pindaan itu boleh memperkasakan undang-undang syariah selaras kehendak demokratik majoriti umat Islam di negara ini.

"Sekiranya MCCBCHST menganggap cadangan pindaan itu tidak berperlembagaan, adakah mereka ingin menyatakan Akta 355 juga tidak berperlembagaan. Sekiranya ya, maka ia satu pandangan yang berbahaya, berniat jahat dan tidak berasas sama sekali.

"Memandangkan MCCBCHST tidak mengemukakan apa-apa penjelasan atau bukti tentang kesan pindaan tersebut ke atas orang bukan Islam melainkan andaian kosong semata-mata, maka kenyataan ini jelas campur tangan ketara dalam hal ehwal agama Islam.

"Ia juga satu bentuk Islamophobia terhadap kedudukan dan amalan Islam di negara ini yang dipelihara serta dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan," tegasnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian