NATIONAL
Menteri-Menteri Luar tiba di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

Menteri-Menteri Luar dari Bahrain, Singapura dan Indonesia tiba di Malaysia hari ini. - Gambar hiasan
SEPANG: Menteri-Menteri Luar dari Bahrain, Singapura dan Indonesia tiba di Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan.
Menteri Luar Bahrain Dr Abdullatif Rashid Al Zayani, merupakan antara diplomat terawal yang tiba apabila pesawatnya mendarat di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.20 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya.
Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan yang diiringi isterinya, tiba di Terminal 1 KLIA pada 10.12 pagi, diikuti oleh Menteri Luar Indonesia Sugiono, yang tiba pada 11.34 pagi.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Mei, bersama-sama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kedua, serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.Sidang Kemuncak ASEAN akan menghimpunkan para pemimpin negara anggota bagi membincangkan perkembangan serantau serta merangka hala tuju masa depan kerjasama ASEAN.
Dilaporkan bahawa Perdana Menteri China, Li Qiang, akan hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
Ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas menjadi pengerusi pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami