MALAYSIA
Mesyuarat Pimpinan fokus pencapaian Kerajaan Perpaduan, usaha pemantapan ekonomi negara

Dr Asyraf Wajdi berkata mesyuarat juga dimaklumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencapai beberapa ketetapan termasuk berkaitan kajian separuh penggal pencapaian kerajaan serta usaha memantapkan ekonomi negara.
Ketua Sekretariatnya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mesyuarat bersetuju kajian separuh penggal yang sedang dilakukan di peringkat Jemaah Menteri perlu dibentangkan kepada Majlis Perundingan bagi memastikan keputusan dicapai selaras dan menghormati perspektif berbeza daripada parti dalam gabungan itu.
"Mesyuarat turut bersetuju menilai pencapaian Kerajaan Perpaduan serta mengambil perhatian semua teguran terhadap kerajaan, selain memberi fokus kepada usaha pemantapan ekonomi negara dan program kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata mesyuarat juga dimaklumkan mengenai penubuhan Jawatankuasa Teknikal bagi meneliti aspek kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.Pada masa sama, beliau berkata mesyuarat turut merakamkan tahniah kepada Malaysia dan Perdana Menteri atas kejayaan memeterai perjanjian perdamaian antara Thailand dan Kemboja.
Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Bilangan 2 Tahun 2025, di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya.
Pemimpin utama Kerajaan Perpaduan turut hadir pada mesyuarat berkenaan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook.
Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan dan Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi.
Mesyuarat yang bermula pada 5 petang itu berakhir kira-kira 6.45 petang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami