ALOR SETAR:Tindakan menangguhkan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN) dan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, penangguhan itu juga dibuat bagi meredakan dan mengurangkan ketegangan politik yang berlaku di dalam negara ketika ini.

Tambah beliau, semua pihak juga perlu memberi ruang terlebih dahulu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memastikan segala permasalahan berkaitan COVID-19 dapat ditangani.

"Mesyuarat semalam semua tangguh, ikut SOP, mesyuarat Pas dengan UMNO tangguh, hari ini mesyuarat MT (Majis Tertinggi) UMNO pun tangguh, jadi nampaknya kita nak redakan keadaan isu politi…. semua orang tumpu pada COVID.

“Semua kena pastikan stabil termasuk di pihak pembangkang, sebab kita perlu beri peluang kepada kerajaan hari ini yang telah mengambil sedaya usaha untuk memastikan COVID-19 dapat kita tangani, tidak ada sebab bagi saya untuk mana pihak menggugat kerja yang dilakukan oleh kerajaan hari ini samada di dalam atau luar Parlimen,” kata beliau.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan bersama Ketua Jabatan Agensi Persekutuan Negeri Kedah di Wisma Persekutuan Anak Bukit, di sini pada Selasa.

Terdahulu, satu kenyataan bersama Setiausaha Agung Pas dan UMNO dikeluarkan bagi menjelaskan penangguhan mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN pada Selasa bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kenyataan berkenaan juga telah menyatakan bahawa kepimpinan kedua-dua parti telah bersetuju untuk mendaftarkan MN secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

BACA: UMNO, Pas setuju daftar Muafakat Nasional secara rasmi