Meta, TikTok dan Google perkukuh ciri keselamatan digital remaja

Langkah yang diambil itu bagi memastikan ekosistem media sosial kekal selamat dan positif selaras dengan keperluan perlindungan kanak-kanak di alam maya. - Reuters
KUALA LUMPUR: Pengenalan ciri kawalan seperti Meta Teen Accounts, Family Pairing (TikTok) dan Family Link (Google) kini menyediakan benteng digital lebih kukuh kepada ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka ketika melayari Internet.
Pengurus Dasar Awam Meta Malaysia Amirah Amir berkata inisiatif oleh penyedia platform teknologi itu bertujuan memastikan ekosistem media sosial kekal selamat dan positif selaras dengan keperluan perlindungan kanak-kanak di alam maya.
Beliau berkata pihaknya telah membangunkan lebih 50 alat keselamatan dengan bimbingan pakar keselamatan digital dunia bagi menjamin persekitaran yang sihat.
"Kepercayaan dan pengalaman positif pengguna menjadi teras model perniagaan Meta, memandangkan platform digital kini bukan sahaja untuk berhubung, malah bagi tujuan pendidikan serta perniagaan.
"Bagi remaja berusia 13 hingga 17 tahun, mereka memerlukan perhatian khusus melalui pengawasan ibu bapa, dan sebab itulah Meta Teen Accounts diperkenalkan," katanya pada sesi perkongsian Kempen Internet Selamat 2026 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.
Amirah berkata melalui ciri tersebut, tetapan keselamatan diaktifkan secara automatik (default) seperti mod akaun peribadi bagi remaja bawah 15 tahun, sekali gus mengurangkan beban pemantauan manual oleh ibu bapa.
Antara ciri utama akaun remaja ialah tetapan privasi ketat yang hanya membenarkan interaksi daripada pengguna yang diikuti sahaja, selain fungsi "Hidden Words" bagi menapis komen berunsur buli dan gangguan.
"Pengguna bawah 18 tahun akan diletakkan di bawah akaun remaja dengan tetapan paling ketat. Bagi mereka yang berusia 13 hingga 15 tahun, akaun ditetapkan dalam mod privasi dan memerlukan kebenaran ibu bapa untuk sebarang perubahan," katanya.
Beliau berkata sejak dilancarkan pada September 2024, kira-kira 90 peratus pengguna dalam kumpulan usia tersebut dilaporkan kekal menggunakan tetapan keselamatan dalam mod privasi yang ditetapkan.
Sementara itu, Pengurus Dasar Awam TikTok Aliff Zakaria berkata ciri Family Pairing membolehkan ibu bapa menghubungkan akaun mereka dengan akaun anak untuk mengawal masa skrin serta menyekat kandungan tidak sesuai secara jarak jauh.
"Melalui Family Pairing, ibu bapa boleh menetapkan akaun anak sama ada sebagai peribadi atau awam serta mengurus mesej langsung (DM) bagi mengelakkan hubungan dengan pihak yang tidak dikenali," katanya.
Pengurus Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Arianne Santoso pula berkata aplikasi Family Link menawarkan kawalan menyeluruh dengan ibu bapa boleh memantau aplikasi yang dimuat turun, menyekat akses kandungan tidak bersesuaian dengan usia serta menetapkan had masa khusus tanpa perlu memegang telefon anak secara langsung.
"Jika anak pasang aplikasi, kita boleh lihat misalnya sama ada aplikasi tersebut belum sesuai digunakan, tidak sesuai untuk usia anak, kita boleh sekat aplikasi itu melalui Family Link tanpa memerlukan guna telefon anak secara langsung," katanya.
Sesi perkongsian bersama penyedia platform itu yang diadakan hari ini sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 bertujuan untuk mempromosi penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif khususnya dalam kalangan kanak kanak serta golongan muda.
Acara bertemakan "Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan Al Secara Selamat dan Bertanggungjawab" anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menawarkan panduan praktikal bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk anak-anak.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


