MIDA sambut baik pelantikan Tengku Zafrul sebagai Pengerusi

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengalu-alukan pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa serta-merta. - Foto Facebook MIDA
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengalu-alukan pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa serta-merta.
MIDA dalam kenyataan hari ini menyifatkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan keupayaan promosi pelaburan dan pembangunan Malaysia dalam keadaan persaingan ekonomi global yang semakin sengit.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata melalui kepimpinan Tengku Zafrul di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Malaysia telah mencatat pelaburan diluluskan yang tertinggi dalam sejarahnya dan meningkatkan kadar pelaksanaan projek dengan ketara.
"Pelantikan beliau sebagai Pengerusi MIDA memastikan kesinambungan hala tuju strategik kami sambil memberikan dorongan baharu kepada keutamaan operasi kami. Kami yakin kepimpinan beliau akan terus menambah baik kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan utama," katanya.
Sepanjang tempoh beliau menggalas tanggungjawab sebagai Menteri MITI, Tengku Zafrul berjaya mencatat prestasi pelaburan yang amat memberangsangkan apabila Malaysia meraih pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, diikuti RM378.5 bilion pada 2024 -- yang tertinggi dalam sejarah negara.
MIDA berkata momentum sedemikian berterusan sehingga 2025, dengan Malaysia menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama, mencatat peningkatan 13.2 peratus tahun ke tahun walaupun berdepan cabaran ekonomi global.
Tengku Zafrul telah menerajui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan memperjuangkan Strategi Semikonduktor Nasional, Strategi Pelaburan Hijau, Pelan Hala Tuju Industri Kimia, Rangka Kerja Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Rangka Kerja Dasar Ekonomi Kitaran.
MIDA berkata Tengku Zafrul memastikan Malaysia berada pada kedudukan strategik dalam kerangka integrasi ekonomi ASEAN.
MIDA yang ditubuhkan pada 1967, kekal sebagai agensi utama negara dalam mempromosikan pelaburan dan memudah cara pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
"Di bawah kepimpinan Tengku Zafrul sebagai pengerusi, MIDA akan meneruskan mandatnya untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing, mampan dan strategik kepada pelabur global," menurut MIDA.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


