KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi untuk beberapa tahun akan datang tetapi pembaharuan struktur dan rangka kerja yang jelas harus dilakukan bagi pertumbuhan ekonomi holistik.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata beberapa isu lama yang berpanjangan perlu diberi perhatian serius termasuk isu tadbir urus, tenaga kerja mahir tidak mencukupi dan isu berkaitan gaji.

"Kita memerlukan komitmen kukuh untuk melakukan pembaharuan struktur...namun cabarannya ketika ini ialah `tiada rangka kerja yang jelas'.

"Sebagai contoh, anda tidak boleh membina rumah tanpa mengetahui hasil dijangka, justeru rangka kerja perlu ada strategi dan proses yang jelas," katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Forum Ekonomi Kebangsaan 2023 yang berlangsung hari ini.

Beliau merupakan salah seorang ahli panel pada sesi bertajuk "Prospek Ekonomi Malaysia: Adakah Kita di Landasan Yang Betul".

Mengenai pembaharuan fiskal, Noor Azlan berkata Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dicadangkan oleh bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz adalah penting dan perlu dilaksanakan untuk menambah baik tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal.

"Dalam keadaan biasa, apakah sasaran kita? Bolehkah mereka mengumumkan apa sasaran kita sekarang? Bagi saya, ini memerlukan komitmen dan disiplin," katanya.

Pada Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan FRA itu dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Jun.

Terdahulu dalam pembentangannya, Noor Azlan berkata Malaysia perlu mengukuhkan pelaburan langsung domestik (DDI) untuk mengekalkan momentum ekonomi.

"Tiada negara di dunia yang boleh menunjukkan prestasi mengagumkan sehingga pengeluar tempatan mereka sendiri mencapai standard yang diinginkan," katanya.

Beliau berkata sesebuah negara tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada pelaburan langsung asing (FDI) untuk melancarkan aktiviti tetapi mesti memastikan pelabur domestik juga bergerak cergas.

"Jika anda tidak mengubahnya, anda tidak seharusnya berpuas hati apabila apabila dunia mengisytiharkan bahawa kita adalah negara berpendapatan tinggi," katanya.

Sesi itu diadakan di Forum Ekonomi Kebangsaan 2023 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM).

-- BERNAMA