MALAYSIA
Minggu KPDN di Ekspo Osaka teroka peluang pasaran antarabangsa

Ekspo Osaka berlangsung selama enam bulan iaitu dari 13 April hingga 13 Oktober manakala Minggu KPDN diadakan dari 25 Mei hingga esok. - Foto Instagram expo2025_malaysia
PUTRAJAYA: Pengisian Minggu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Ekspo 2025 Osaka, Jepun memberi tumpuan kepada penerokaan peluang perluasan pasaran di peringkat antarabangsa.
Ringkasan AI
- Peluang Pasaran Global dan Digitalisasi - Penyertaan KPDN di Ekspo 2025 Osaka memberi tumpuan kepada perluasan pasaran antarabangsa dan memperkenalkan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) untuk memacu penggunaan tanpa tunai di kawasan luar bandar Malaysia.
- Kerjasama Strategik dan Promosi Produk Tempatan - Ekspo ini memperlihatkan kerjasama antara kerajaan, penyedia e-dompet seperti TNG Digital dan PayNet, serta pemain industri jualan langsung bagi mempromosi produk tempatan dan membuka akses pasaran ke Jepun.
- Perlindungan Harta Intelek dan Inovasi Tempatan - MyIPO turut terlibat bagi meningkatkan kesedaran tentang perlindungan harta intelek termasuk inovasi seperti batik tanah liat dan produk berstatus Petunjuk Geografi, selaras dengan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.
"Antara pengisian utama sepanjang minggu KPDN di Ekspo 2025 Osaka ialah mengangkat Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (REDI) yang telah dipilih oleh Japan Association for the 2025 Exposition selaku penganjur utama, bagi menyemarakkan tema mingguan yang ditetapkan iaitu 'Masa Depan Komuniti dan Mobiliti'.
"Inisiatif ini diketengahkan melalui sesi perkongsian oleh ahli panel menerusi topik bertajuk 'Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan: Memacu Penggunaan Tanpa Tunai dan Teknologi di Luar Bandar Malaysia'," menurut KPDN dalam kenyataan hari ini.
Sesi itu juga memperlihatkan kejayaan kerjasama strategik kerajaan dengan pihak industri iaitu penyedia e-dompet Malaysia seperti TNG Digital Sdn. Bhd. dan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) serta wakil usahawan peruncitan dalam memberikan pendedahan kepada peniaga luar bandar berhubung manfaat pengoperasian perniagaan secara digital.
Selain inisiatif REDI dan penglibatan rakan strategik penyedia e-dompet, pendekatan interaktif di reruai KPDN turut menyaksikan kehadiran pemain industri jualan langsung di bawah Direct Selling Association of Malaysia (DSAM) dan Malaysia Direct Distribution Association (MDDA).
"KPDN sebagai pihak yang mengawal selia industri ini menyediakan platform Minggu KPDN untuk membantu mempromosi produk jualan langsung Malaysia serta menghubungkan mereka dengan rakan strategik di Jepun ke arah akses pasaran dan jaringan kerjasama," kata KPDN.
Selain itu, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang merupakan agensi di bawah KPDN turut mengambil bahagian meningkatkan keterlihatan usaha kerajaan dalam perlindungan dan pendaftaran harta intelek.
Ia termasuk perkongsian inovasi lakaran motif batik menggunakan tanah liat mesra alam yang dipatenkan oleh MyIPO serta perlindungan dan pendaftaran Petunjuk Geografi seperti Kebaya Nyonya Melaka, Tembaga Terengganu dan Wau Kapal Selangor.
Menurut KPDN, pameran itu bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung antarabangsa mengenali produk buatan tempatan tetapi juga langkah penting dalam memartabatkan harta intelek sebagai pemangkin pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan yang boleh menjadi daya tarikan pelabur.
Ekspo Osaka itu berlangsung selama enam bulan iaitu dari 13 April hingga 13 Oktober ini manakala minggu KPDN diadakan dari 25 Mei hingga esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami