KUALA LUMPUR : Sebanyak 57 kes baharu dicatatkan di Miri sekali gus menjadikannya daerah yang menyumbang angka tertinggi COVID-19 di Sarawak.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu, negeri itu secara keseluruhannya mencatatkan 222 kes baharu.

"Sebanyak 57 kes dicatatkan di Miri, diikuti Sibu (38), Kuching (29), Bintulu (25), Betong (12), Meradong (12), Julai (10) serta Subis (sembilan).

"Daerah Kapit dan Song masing-masing mencatatkan tujuh kes, Samarahan (empat), sementara Saratok, Serian dan Limbang masing-masing dua kes.

"Selebihnya satu kes masing-masing di Bau, Kanowit, Mukah, Sarikei, Sebauh dan Telang Usan," kata kenyataan JPBN Sarawak itu.

Penambahan kes yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 mencecah 12,273 kes.

Tambah JPBN Sarawak lagi, bagi kes yang dicatatkan di Miri, 42 kes melibatkan saringan pengesanan kes secara aktif kontak rapat dengan satu daripadanya dikategorikan sebagai kes import C iaitu mendapat jangkitan di Bintulu. 

"11 kes lain-lain saringan COVID-19 yang hadir ke pusat kesihatan di daerah Miri. Dua kes melibatkan Kluster Sena dan dua kes lagi adalah hasil saringan petugas kesihatan di fasiliti kesihatan di Miri," kata kenyataan itu.

Sementara itu, tiada kematian serta pertambahan kluster baharu dicatatkan di Sarawak pada hari ini.

Kluster-kluster yang masih aktif kekal ialah sebanyak 28 kluster dengan lima daripadanya mempunyai pertambahan kes.

Selain itu, beberapa daerah juga telah bertukar status termasuk Limbang, Dalat, Selangau serta Bau.

"Hari ini, Limbang, Dalat dan Selangau telah bertukar kepada status kuning setelah masing-masing merekodkan dua, 17 serta 19 kes jangkitan tempatan baharu dalam tempoh 14 hari lepas.

"Daerah Bau pula telah kembali ke status jingga daripada status merah setelah mencatatkan kes jangkitan tempatan dalam tempoh yang sama," ujar kenyataan itu lagi.