Misi FFC: Delegasi Malaysia dinasihat tandatangan borang 'permohonan pelepasan segera' - MyCARE

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar bercakap alam sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini, hari ini. - Foto Bernama
SERI KEMBANGAN: Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya menjangkakan kesemua delegasi Malaysia yang ditahan semasa menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas borang 'permohonan pelepasan segera' ditandatangani.
Ringkasan AI
- MyCARE jangka 9 rakyat Malaysia yang ditahan Israel akan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas borang deportasi ditandatangani; rundingan masih berlangsung.
- Wisma Putra, Perdana Menteri dan Menteri Luar sedang berhubung dengan Turkiye untuk membantu urusan penghantaran pulang delegasi Malaysia.
- Delegasi Malaysia sertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC x TMTG) bersama 150 peserta dari 25 negara, membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum dipintas tentera Israel.
“Kita telah nasihatkan kepada delegasi Malaysia untuk menandatangani surat deportation (penghantaran pulang) supaya urusan untuk dihantar balik perlu dilaksanakan dalam tempoh 72 jam.
“Mungkin petang ini, memandangkan ketika ini di sana (Israel) masih awal pagi. Kalau ada perbicaraan tribunal (terhadap delegasi Malaysia) akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini, hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Wisma Putra bagi urusan pembebasan dan membawa pulang kesemua delegasi Malaysia yang ditahan secara haram oleh pihak berkuasa Israel.
Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut memaklumkan sudah berhubung dengan rakan sejawat Kerajaan Turkiye untuk membantu urusan penghantaran pulang delegasi Malaysia.
Terdahulu, sembilan kapal misi Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang dipintas tentera Israel tiba di Pelabuhan Ashdod.
Kapal Conscience yang membawa lapan rakyat Malaysia tiba di pelabuhan pada 12.45 tengah malam manakala kapal terakhir Umm Saad yang dinaiki seorang lagi rakyat Malaysia tiba pada 6 pagi waktu Malaysia.
Sembilan rakyat Malaysia adalah ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali; Dr Fauziah Hassan; Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh serta Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Manakala seorang lagi wakil Malaysia berada dalam kapal Umm Saad iaitu Dr Maziah Muhammad.
Semua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan FFC dan TMTG, dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami