NATIONAL
Mohamad ketuai misi kemanusiaan ke Nay Pyi Taw, zahir sokongan ASEAN kepada Myanmar

Menteri Luar Mohamad Hasan bakal mengetuai misi kemanusiaan ke Nay Pyi Taw pada 5 April susulan insiden gempa bumi di Myanmar baru-baru ini. - Reuters
PUTRAJAYA: Malaysia akan terus menyampaikan sokongan tidak berbelah bahagi ASEAN kepada Myanmar dalam usaha pemulihan pasca gempa bumi.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, perkara itu akan dizahirkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar (AMM) sewaktu mengetuai misi kemanusiaan ke Nay Pyi Taw pada 5 April ini.
Kementerian berkata, misi itu merupakan manifestasi solidariti serantau dan sokongan kepada rakyat Myanmar, sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Kecemasan Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung gempa bumi di Myanmar dan Thailand yang dipengerusikan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 30 Mac lepas.
“Menteri Luar Negeri akan disertai oleh rakan sejawat beliau dari Thailand, Maris Sangiampongsa, Menteri Luar Negeri Thailand, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama rapat ASEAN dalam tindak balas kemanusiaan. Thailand juga turut terjejas akibat bencana tersebut.“Semasa berada di Nay Pyi Taw, kedua-dua Menteri Luar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC), Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta Menteri Luar Negeri, U Than Shwe.
“Menteri-Menteri Luar Negeri Malaysia dan Thailand turut akan menerima taklimat daripada Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Pengurusan Bencana (AHA Centre) mengenai operasi bantuan dan kemanusiaan yang sedang dilaksanakan,” menurut kenyataan itu lagi.
Wisma Putra berkata, Mohamad juga akan menyuarakan keperluan untuk meneruskan dan memperluas akses penghantaran bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan dan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas.
Selain itu beliau akan mengetengahkan usaha tindak balas bencana yang dikoordinasikan ASEAN serta sumbangan Malaysia setakat ini, termasuk penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan penghantaran bantuan kemanusiaan.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, bersempena lawatan tersebut, kumpulan kedua bantuan kemanusiaan Malaysia seberat 15 tan akan tiba di Nay Pyi Taw.
“Bantuan ini diselaraskan melalui AHA Centre dan dihantar menggunakan pesawat A400 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai usaha kolektif bantuan ASEAN. Lawatan ini mencerminkan kesinambungan pendekatan ASEAN yang bersatu dan berteraskan rakyat dalam menangani krisis kemanusiaan serantau.
“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN, AHA Centre dan rakan-rakan kemanusiaan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula di Myanmar —terutamanya di wilayah Sagaing dan Mandalay yang paling teruk terjejas,” menurut kenyataan itu lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami