MALAYSIA
Mohamed Khaled ucap takziah kepada keluarga Prebet Muhammad Irfan Haiqal

Muhammad Irfan Haiqal dilaporkan hilang pada Jumaat sebelum ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bantuan perubatan diberikan. - Foto Facebook Khaled Nordin
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga anggota tentera yang ditemukan meninggal dunia ketika melaksanakan operasi di Pulau Mataking, Semporna, Sabah, Jumaat.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau mendoakan agar keluarga Allahyarham Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan itu.
"Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Insya-Allah," katanya.
Muhammad Irfan Haiqal yang merupakan anggota Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dilaporkan hilang pada Jumaat sebelum ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas bantuan perubatan diberikan.Terdahulu, Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 dalam kenyataan memaklumkan seorang anggota tentera ditemukan meninggal dunia, manakala seorang lagi iaitu Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih hilang.
Dua anggota tentera berkenaan sedang melaksanakan Operasi PASIR Sektor Semporna Siri 3/2025 di Pulau Mataking sebelum dilaporkan hilang.
Kejadian dipercayai berpunca daripada insiden lemas, namun siasatan lanjut sedang dijalankan manakala operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pasukan sahabat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami