KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta agar sukan flag football (varian bola sepak Amerika) untuk membentangkan peta hala tuju jika berhasrat untuk mewakili negara ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Persatuan American Football Malaysia (MAFA) perlu mempunyai perancangan rapi dari segi pembangunan akar umbi hingga ke prestasi tinggi supaya pihaknya dapat membuat penilaian.

"Apa sahaja yang kita buat, mesti ada roadmap. Ia harus dibentangkan kepada MOM dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) supaya kita dapat menilai di mana (tahap) mereka dan apa bantuan yang diperlukan.

"Dari segi bantuan itu saya rasa mereka bertanggungjawab memastikan dapat berada di peta dunia. Macam squasy, kita dah tahu kebanyakannya adalah 20 teratas, nak tahu roadmap nak pergi ke LA sudah jelas," katanya apabila diminta mengulas mengenai sokongan bagi sukan itu ke LA28 memandangkan MAFA bukan ahli gabungan MOM.

Mohamad Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pengerusi Yayasan Astro Kasih Tun Zaki Azmi melibatkan kerjasama dalam Astro Kem Badminton untuk tahun depan.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada bulan lepas meluluskan kemasukan lima sukan ke LA28, iaitu flag football dan skuasy yang bakal membuat debut di Sukan Olimpik, manakala kriket (T20), lacrosse dan besbol/sofbol kembali di pertandingkan di temasya sukan terbesar dunia itu.

Bagi Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yang merupakan ahli gabungan MOM, Mohamad Norza berkata mereka juga harus tampil membentangkan perancangan dan persediaan mereka menghadapi Sukan Olimpik.

Sementara itu, Mohamad Norza mengulangi pendiriannya bahawa Pesuruhjaya Sukan (PJS) Suhardi Alias perlu memberi penjelasan mengenai ugutannya untuk membatalkan pendaftaran MOM.

"Saya berharap bahawa kita mempunyai PJS yang menghimpunankan sukan...jadilah pemantau dan bukan sengaja mencari kesalahan. Saya mahu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memandang serius perkara ini," katanya.

Kemelut antara MOM dan Suhardi bermula selepas klip audio ketika pertemuan PJS dengan dua badan e-sukan iaitu Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dan Persatuan Tadbir Urus Sukan Elektronik Malaysia (MEGA) tersebar, dengan Suhardi didakwa mengugut membatalkan pendaftaran MOM.

-- BERNAMA