Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan perkhidmatan monorel antara stesen Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah adalah selamat.

Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya melakukan beberapa ujian berkaitan tahap keselamatan di lokasi berkenaan.

"DBKL berpuas hati dengan keadaan keselamatannya dan kini terserahlah kepada Rapid Rail Sdn Bhd untuk membuat penilaian muktamad tentang keselamatan laluan itu sebelum menyambung kembali perkhidmatan monorel.

"Kami telah membuat ujian terhadap kekuatan tiang monorel dan selepas ini, DBKL akan memberi fokus terhadap ujian struktur bawah tanah pula," katanya.

Mohd Najib berkata demikian bagi merujuk kepada tindakan susulan berikutan kejadian dua lubang benam di persimpangan Jalan Imbi pada Rabu.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi itu, sebahagian daripada terowong bawah tanah sepanjang 35 meter dengan empat lorong yang dibina bagi mengurangkan kesesakan di persimpangan Jalan Imbi, runtuh sedalam lima meter akibat pergerakan tanah.

Berikutan kejadian itu, perkhidmatan monorel antara stesen Jalan Imbi dan Jalan Hang Tuah digantung.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail), Khairani Mohamed berkata, perkhidmatan monorel akan hanya beroperasi di antara Stesen Monorel Titiwangsa dan Stesen Monorel Imbi dan antara Stesen Monorail KL Sentral dan Stesen Monorel Hang Tuah.

Jelasnya, perkhidmatan bas RapidKL disediakan untuk membantu pengguna monorail antara Stesen Monorel KL Sentral dan Stesen Monorel Titiwangsa.

Ujarnya, kekerapan waktu perkhidmatan bas ini bagaimanapun tertakluk kepada keadaan trafik yang terjejas akibat insiden itu.