MUKAH: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi kelulusan kepada cadangan Kerajaan Sarawak untuk menaik taraf Padang Terbang (STOLport) di Lawas kepada lapangan terbang.

Selain itu, Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kerajaan negeri turut mencadangkan pembinaan STOLport masing-masing di Betong dan Kapit.

"Kesemuanya telah diangkat kepada MOT dan setelah berbincang dengan wakil kerajaan negeri... ini adalah inisiaitf Kerajaan Sarawak.

"Kita tidak ada halangan, malah telah memberi kelulusan kepada kerajaan negeri untuk mempertingkatkan fasiliti kita. Ini akhirnya memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak memandangkan pembangunan pesat akan berlaku di negeri ini," katanya ketika berucap menghadiri Majlis Perasmian Lapangan Terbangan Baharu Mukah, di  sini pada Sabtu.

Terdahulu, Ka Siong dalam ucapannya berkata, pembinaan Lapangan Terbang Baharu Mukah bukan sahaja menjadi ikon terbaharu di kawasan itu, sebaliknya bakal menjadi pemangkin yang mampu mengerakkan kemajuan dan pembangunan.

Beliau turut menzahirkan keyakinan dengan beroperasinya lapangan tersebut, ia akan menyokong pembangunan Sarawak Goverment's Economic Plan for SCORE termasuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Mukah.

"Ia akan memudahkan pergerakan sektor perdagangan dan eksport pertanian, perikanan, makanan dan juga produk-produk tempatan seperti sago dan umai yang merupakan makanan istimewa kaum Melanau," ujarnya.