KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengeluarkan 15 notis pemeriksaan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dalam operasi penguatkuasaan selama dua hari bermula Rabu lepas di sekitar ibu kota.
MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia termasuk sembilan notis di bawah subseksyen 5 (2) kerana menjalankan perniagaan pelancongan tanpa lesen yang sah, dengan operasi melibatkan pemeriksaan di tiga lokasi pelancongan, sembilan premis perniagaan dan tiga individu.
“Risikan dengan kerjasama Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Lumpur bagi mengesan individu disyaki menjalankan aktiviti pemanduan pelancong tanpa lesen yang sah turut dijalankan dan tindakan penguatkuasaan di bawah subseksyen 21 (1) diambil terhadap individu tersebut,” menurut kenyataan itu.
MOTAC memaklumkan operasi turut mengesan kesalahan lain seperti menggunakan kenderaan persendirian atau yang tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong, gagal mematuhi syarat lesen dan berurus niaga dengan pihak yang tidak berlesen.
Kementerian itu memaklumkan kenderaan persendirian atau tidak dilesenkan bagi tujuan pengangkutan pelancong yang dikenal pasti akan ditangani dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Siasatan lanjut akan diteruskan sebelum tindakan perundangan diambil terhadap kesalahan yang melibatkan individu, entiti, pemilik dan pihak yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
MOTAC memberi amaran kepada pihak tidak mempunyai lesen untuk tidak menawarkan perkhidmatan pelancongan dan mereka yang terlibat boleh dikompaun hingga RM250,000 atau denda sehingga RM500,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 482.
“MOTAC sentiasa komited untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara menyeluruh, tegas dan berkesan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, keadilan, integriti dan akauntabiliti, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.
MOTAC menggesa orang ramai serta penggiat industri untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pelancongan disyaki melanggar undang-undang dan peraturan melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) menerus pautan https://motac.spab.gov.my/eApps/system/index.do.
-- BERNAMA