KUALA LUMPUR: Malaysian Press Institute (MPI) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan Program Literasi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH bagi memberikan kefahaman kepada pengamal media berhubung isu itu.
Program di IKIM di sini dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH Mustakim Mohamad, Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pengarah IKIM Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil serta disertai lebih 20 pengamal media.
Dalam sesi tertutup hampir dua jam, Mustakim memberikan penerangan dan menjawab soalan pengamal media berhubung liputan mengenai isu RCI TH.
Yong berkata program itu menjadi platform penting untuk membantu wartawan mendapatkan maklumat tepat berhubung langkah diambil TH dalam memulihkan serta mengukuhkan semula keyakinan pendeposit dan pelabur.
“Ini kerjasama yang sangat bermakna antara MPI dengan IKIM. Kita berterima kasih kerana berpeluang menjemput wartawan untuk mendapatkan maklumat secara mendalam tentang isu yang sangat penting kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas program tamat.
Yong berkata taklimat khas tersebut juga mampu memberikan naratif yang tepat mengenai masa depan TH dan mencadangkan supaya program seperti itu diperluas ke negeri lain menerusi sesi dialog awam atau town hall.
Sementara itu, Mohamed Azam berkata isu RCI TH bukan polemik berkaitan agama atau bangsa, sebaliknya berteraskan integriti dan akauntabiliti pengurusan.
“Ini isu amanah yang diberikan dan kita mohon wartawan untuk berkongsi naratif ini bagi memberikan keyakinan kepada pendeposit dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata program literasi itu amat penting bagi mengembalikan kepercayaan awam terhadap kewibawaan TH sebagai institusi kewangan Islam yang unik dalam menguruskan rukun Islam kelima.
-- BERNAMA