SHAH ALAM: Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor mendesak agar kerajaan negeri akur serta menghormati suara rakyat dengan membatalkan serta-merta penyahwartaan tanah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) tanpa berdolak-dalik dan bermain politik.

Menerusi kenyataan bersama Pengerusi Badan Perhubung UMNO Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, MN Selangor menyuarakan rasa kesal dan dukacita dengan tindakan kerajaan negeri meneruskan nyahwarta hutan seluas 536.7 hektar itu walaupun telah berjanji untuk menangguh dan menyemak semula di Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu penyahwartaan tanah Hutan Paya Gambut itu telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-17/2021 pada 5 Mei lepas dan dengan kelulusan itu nyahwarta berkenaan direkodkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada tarikh 12 Ogos dan terus berkuat kuasa.

"Tindakan mengetepikan protes serta bantahan awam dan suara ahli-ahli Dewan Negeri kerajaan serta pembangkang yang lantang menolak tindakan ini cukup tidak bertanggungjawab," katanya.

-- BERNAMA