KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Muhammad Bakhtiar, 57, menggantikan Noor Azmi Mat Said yang baru menamatkan penggalnya selepas berkhidmat di MyCreative sejak dua tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Junady Nawawi dalam kenyataan hari ini berkata Muhammad Bakhtiar, Ahli Parlimen Balik Pulau selama dua penggal, mempunyai pengalaman luas terhadap pembangunan dan perancangan strategik selain turut mempunyai minat terhadap seni, budaya serta warisan yang dapat membantu membawa usahawan dan penggiat seni tempatan ke peringkat global.

"Adalah menjadi matlamat kolektif kami untuk memastikan MyCreative memberi impak positif kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem kreatif, termasuk artis, usahawan, pelabur dan masyarakat," katanya.

Junady memaklumkan anak kelahiran Pulau Pinang itu mempunyai lebih 34 tahun pengalaman dalam pengurusan kanan dan perancangan strategik setelah memulakan kerjayanya pada tahun 1989 di Malaysia Smelting Corporation.

Muhammad Bakhtiar juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pelancongan dan Pasukan Petugas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2018.

Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis untuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang dari 2013 hingga 2018 dan telah memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bandar raya itu.

Junady turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Noor Azmi atas sumbangan beliau kepada pembangunan industri kreatif sebagai Pengerusi sebelum ini yang turut dikenali sebagai pemimpin yang tidak gusar menghadapi keputusan yang sukar terutamanya semasa era pandemik.

Dalam kenyataan sama, Muhammad Bakhtiar berkata pada jangka masa panjang, sektor ekonomi jingga mempunyai potensi positif yang akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan unjuran sehingga RM31.9 bilion menjelang 2025.

"Saya komited untuk bekerja keras dengan pasukan MyCreative bagi mencapai matlamat ini dan membantu memastikan kejayaan serta pertumbuhan industri kreatif yang berterusan," katanya.

MyCreative merupakan subsidiari milik penuh Kementerian Kewangan (Diperbadankan) di bawah seliaan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dengan objektif memajukan industri kreatif Malaysia melalui pelaburan strategik dan inovatif.

-- BERNAMA