KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dirinya terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Menurutnya, tohmahan jahat itu turut berlegar di media massa dan media sosial tanpa sebarang butiran lengkap.

"Sehingga kini tohmahan jahat ini berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran yang lengkap bagaimana saya terbabit dalam perkara ini dan apakah salah laku tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum dibatalkan.

"Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada Spanco.

"(Jadi) janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

"Jangan samakan kedudukan saya dengan Perdana Menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan. Saya tahu kedudukan saya," ujarnya.

Muhyiddin menyamakan dakwaan terbaharu itu dengan tuduhan sebelum ini membabitkan wang negara bernilai ratusan billion ringgit.

"Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya.

"Saya juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Janawibawa.

"Pihak pendakwa merayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari ini. Saya berdoa semoga saya mendapat keadilan di mahkamah," katanya.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan sudah merakam percakapan bekas menteri kewangan yang terbabit dalam kontrak perolehan Spanco bagi tempoh 2020-2021.