Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir patut berasa bangga dengan prestasi beliau dalam Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO yang berlansgung semalam walaupun tidak berjaya mengisi jawatan Naib Presiden parti, kata Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.


Beliau optimis bahawa kekalahan Mukhriz dalam Pemilihan UMNO tidak akan memberi kesan terhadap peluang Barisan Nasional untuk memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau bulan hadapan.

Beliau menambah, jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikan beliau akan mengadakan ‘post-mortem’ terhadap keputusan pemilihan untuk melihat bagaimana ia dapat diperhalusi.

“Kepada mereka yang berjaya memenangi pemilihan ini, tahniah diucapkan. Tetapi masih banyak kerja yang harus dilakukan dalam memenuhi harapan dan jangkaan ahli-ahli parti yang telah mengundi mereka,” kata beliau.

“Kepada yang kalah, terima dengan hati terbuka kerana ini merupakan pilihan 150,000 ahli yang mengundi. Teruskan kerja dan usaha anda kerana anda masih berpeluang untuk bertanding di masa hadapan,” kata Muhyiddin pada sidang akhbar di IOI Golf Resort di Putrajaya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa beberapa bahagian UMNO seluruh negara telah mengundi berdasarkan arahan oleh kepimpinan tertinggi parti itu yang mahu mengekalkan status quo. Beliau berkata ia adalah mustahil untuk mempengaruhi keputusan 150,000 ahli.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Zainuddin Maidin yakin Mukhriz akan menerima kekalahannya dengan semangat demokrasi yang tulen iaitu "walaupun lawan menang dengan satu undi tetapi yang kalah adalah kalah".

"Semua orang tentu bersetuju kalau mengatakan bahawa biarpun Mukhriz kalah tetapi kalah dengan bermaruah dan Hishamuddin biarpun menang tetapi menang yang parah," kata beliau dalam satu tulisan di blognya.

Zainuddin juga menyifatkan Mukhriz telah mengambil langkah yang betul bertanding jawatan Naib Presiden kerana beliau kini tahu pengaruhnya di peringkat nasional berbanding Hishammuddin yang merupakan veteran parti.

Apa yang penting sekarang, katanya, semua penyokong Mukhriz di dalam dan di luar UMNO memberikan sokongan kepada Menteri Besar Kedah itu untuk memastikan Barisan Nasional menang dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Limau awal bulan depan.