Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini bagi memulakan lawatan kerja sehari ke Perlis hari Khamis.

Timbalan Perdana Menteri memulakan lawatan dengan menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Biru Istana Arau pada pukul 9.30 pagi.

Muhyiddin diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Selepas kira-kira satu jam di Istana Arau, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berlepas ke Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis untuk mendengar taklimat persiapan pilihan raya BN Perlis.

Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri jamuan rakyat di Dewan Sri Melati, Alor Tampang sebelum mengadakan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat pelbagai peringkat di Dewan 2020, Kangar pada sebelah petang.

Muhyiddin juga dijadual melawat pasar malam Titi Chai, Utan Aji, kira-kira dua kilometer dari Dewan 2020, sebelum menghadiri program santai di Restoran Seri Pauh di Pekan Pauh.

Pada sebelah malam, timbalan perdana menteri akan menghadiri Perhimpunan Rakyat 1Malaysia Gelombang Biru di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini.