Jenazah murid cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ibrahim 2, Wan Adibah Farhanim Wan Mazlan yang mendapat keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lemal, di sini tengahari tadi.

Allahyarham Wan Adibah Farhanim, 12, yang menghidap kanser limfoma atau kelenjar darah menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 4 pagi tadi, di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Jenazah Allahyarham di bawa pulang dari HUSM pagi tadi sebelum diurus dan disolatkan pada jam 11 pagi ini di rumah keluarganya di Kampung Dangar, di sini.

MESTI BACA: Murid hidap kanser usus catat 6A UPSR

Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga Allahyarham dan tanah perkuburan apabila hampir 1,000 orang ramai menziarahi keluarga Allahyarham.

Sementara itu, bapa Allahyarham, Wan Mazlan Wan Hassan reda dengan kehilangan anak bongsu dari empat beradik itu.

Keputusan 6A yang diperoleh Allahyarham menjadi pengubat rindu dan hadiah buat beliau sekeluarga.

“Walaupun sedih dengan pemergian anak yang cukup saya sayangi tapi kita reda dengan ketentuan reda Allah, anak ini bagi saya, Wan Adibah seorang yang tuhan anugerah kepada keluarga saya ada keistimewaan pada kami antaranya dia tidak timbul masalah dari kecil sampai sekarang dan dia suka puasa dan baca Quran setiap lepas Maghrib,” kata Wan Mazlan.


Pada Khamis lalu, media tempatan melaporkan Allahyarham yang mengidap kanser limfoma atau kelenjar darah mampu membuktikan kecemerlangan apabila memperoleh 6A dalam UPSR.

Walaupun menjalani peperiksaan di HUSM dan terpaksa berdepan dengan kesakitan, beliau mampu meraih keputusan yang cemerlang.

Allahyarham mula mendapat rawatan di HUSM sejak awal September lalu.

Allahyarham merupakan anak kepada pasangan guru dan anak perempuan tunggal dalam keluarga.