KOTA BHARU: Status orang kurang upaya (OKU) tidak menjadi penghalang apatah lagi mematahkan semangat Abdul Hakim Saifuddin Zulkifli untuk memulakan sesi persekolahan tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1, di sini, hari ini.

Ibunya Siti Fatimah Nurul Naim Hussin, 45, yang juga guru Sains di sekolah itu berkata anaknya begitu bersemangat dan teruja untuk ke sekolah hari ini sehingga mengejut beliau bangun seawal 3 pagi tadi.

Beliau berkata walaupun secara fizikal anaknya tidak seperti kanak-kanak lain kerana kecacatan pada kedua-dua kakinya akibat penyakit Cerebral Palsy sejak dalam kandungan, namun tahap pemikirannya selari dengan rakan sebayanya.

"Sejak dua minggu lepas lagi Abdul Hakim Saifuddin tidak henti-henti bertanya kepada saya bila sekolah akan dibuka kerana dia tidak sabar untuk belajar dan juga bertemu kawan-kawan baharu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Ismail Petra 1 di sini hari ini.

Menurut Siti Fatimah bagi memudahkan pergerakan anaknya di sekolah, beliau menyediakan kereta mainan beroda empat sementara menunggu kerusi roda khas yang dijangka dihantar minggu depan.



Ibu kepada lima anak itu berkata dari segi persiapan kelengkapan persekolahan sememangnya agak sukar memandangkan saiz tubuh anak bongsunya itu agak kecil berbanding usianya.

"Bagaimanapun saya bernasib baik memandangkan saya mengambil inisiatif untuk menyediakan kelengkapan persekolahan dia termasuk pakaian sekolah sebelum cuti persekolahan yang lepas.

"Saya berharap Abdul Hakim Saifuddin dapat menerima suasana baharu ini selain dapat belajar bersungguh-sungguh dan berjaya kelak," katanya sambil berterima kasih kepada pihak sekolah kerana menyediakan pelbagai kemudahan.

Sementara itu, guru besar SK Ismail Petra 1 Mohd Fauzi Ismail berkata pihaknya telah mengambil inisiatif dengan menyediakan pelbagai kemudahan untuk memudahkan pergerakan Abdul Hakim Saifuddin di sekolah.

Beliau berkata pihaknya mula menyediakan kemudahan berkenaan termasuk susur landai untuk laluan mesra OKU, sinki serendah satu kaki di kantin dan susur tangan sejak dua minggu lepas selepas menerima maklumat mengenai kemasukan murid berkenaan.

"Inisiatif ini juga dibantu oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk memastikan kemudahan mesra OKU ini dapat dilaksanakan.

"Selain itu, aktiviti sempena pembukaan persekolahan pada hari ini juga kita hanya menumpukan aktiviti yang memerlukan pergerakan tangan dan mengurangkan aktiviti menggunakan kaki bagi mengelakkan Abdul Hakim Saifuddin berasa terpinggir," katanya.

Mohd Fauzi berkata pihak sekolah akan cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan kebajikan murid OKU berkenaan terjaga sekali gus berharap beliau tidak ketinggalan dari segi pembelajaran dengan rakan-rakan yang lain.

-- BERNAMA