Pada 15 Januari hadapan, Perodua Myvi baharu (facelift) akan dilancarkan secara rasmi. Bagi mereka yang berminat, anda sudah boleh membuat tempahan pembelian di mana-mana 182 bilik pameran Perodua di seluruh negara; tetapi sebelum itu apa kata meneliti dahulu pembaharuan yang diberikan kepada kereta yang cukup digemari ini.

“Segala tambah baik pada Myvi 2015 ini dibuat selepas meneliti kaji selidik untuk mengetahui apa yang dapat memberi lebih nilai kepada para pembeli. Pembaharuan yang dilakukan menambah nilai sehingga RM3,000”, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salled.

Namun begitu, enjin K3-VE dan 3SZ-VE (masing-masing untuk varian 1.3L dan 1.5L) masih dikekalkan. Begitu juga outputnya – masih lagi 90hp/117Nm dan 102hp/136Nm.

Myvi 1.3L akan mempunyai 2 varian iaitu Standard G dan Premium X untuk menggantikan XT dan SE digunakan sekarang. Standard G mempunyai pilihan transmisi manual 5-kelajuan atau auto 4-kelajuan.

Myvi 1.5L pula dipecahkan ke varian SE dan Advance; SE dengan pilihan transmisi auto atau manual, manakala hanya automatik untuk Advance. (Lihat rajah di bawah untuk spesifikasi yang diberikan setakat ini)

(klik untuk saiz penuh)

Model kereta paling laris di Malaysia untuk 9 tahun berterusan ini juga sekarang diakui oleh ASEAN NCAP dengan 4-bintang untuk segi ciri-ciri keselamatannya.

Dua warna tambahan diperkenalkan, iaitu biru (Electric Blue) dan emas (Cosmic Gold).

Harga untuk Myvi baharu ini adalah di antara RM41,500 dan RM58,900 (di Semenanjung Malaysia).