GOMBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sempat meluangkan masa untuk bersama-sama menyempurnakan solat jenazah Allahyarham Shahrul Kamal Roslan, juruterbang pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, pada Ahad.

Dalam kemas kini di media sosial, Azmin juga memaklumkan beliau sempat bertemu dengan bapa Allahyarham yang juga bekas juruterbang.

"Sejurus selesai solat jenazah, saya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

"Saya berkesempatan bertemu dan menyampaikan ucapan takziah kepada bapa Allahyarham iaitu Encik Roslan yang juga merupakan seorang juruterbang yang baru sahaja bersara wajib dua tahun yang lalu," tulis Azmin.

Beliau turut mendoakan Allahyarham mendapat husnul khatimah dan keluarganya diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ketentuan Allah SWT.

Penantian ahli keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lepas berakhir hari ini selepas semua 10 jenazah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan di tempat masing-masing.

Bermula dengan jenazah penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Kedah, semalam, sembilan mangsa lain dikebumikan secara berperingkat hari ini.

Selepas tiga hari insiden tragis itu berlaku, proses pengecaman dan padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berjaya diselesaikan sehari awal berbanding jangkaan asal, esok.