Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter: Dr Ainul anak Kelantan yang mengabdikan khidmat di pedalaman - MB

KUCHING, 8 Sept - Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching hari ini. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang. Helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi penerbangan Flying Doctor Service ketika kejadian. - fotoBERNAMA (2026) HA
Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk Dr Ainul terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching, 8 Sept 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

KOTA BHARU: Kelantan kehilangan seorang anak kelahiran Kota Bharu, Allahyarham Dr Ainul Baraah Kamarudin yang meninggal dunia ketika menjalankan amanah menerusi perkhidmatan doktor udara (FDS) untuk masyarakat pedalaman Sarawak.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pemergian Allahyarham mendapat pengesahan rasmi yang amat menyayat hati ketika beliau sedang berkhidmat membawa rawatan dan harapan kepada mereka yang memerlukan.

“Allahyarham telah mengabdikan ilmu dan khidmatnya jauh di pedalaman demi kemanusiaan. Pemergiannya meninggalkan kehilangan buat Kelantan, yang kehilangan seorang anak yang telah menabur bakti jauh dari tanah kelahirannya.

“Salam takziah buat seluruh keluarga mangsa terlibat. Semoga Allah SWT merahmati Allahyarham, menerima segala khidmat baktinya sebagai amal soleh dan menempatkannya bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

Menurut kenyataan CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi FDS ketika kejadian.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang ketika dihubungi mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian kira-kira 3.40 petang semalam.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement