SEREMBAN: Meskipun kecewa tersingkir daripada saingan Piala FA 2026/2027, ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Daniel Gimenez Alcaniz kekal optimis semangat juang anak buahnya akan menjadi asas penting ketika mereka membina semula momentum bagi mengharungi baki saingan musim ini.
Bercakap pada sidang media selepas aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA menentang Kelantan City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam, pengendali dari Sepanyol itu mengakui kegagalan memadamkan defisit dua gol merupakan sesuatu yang amat mengecewakan.
“Sejujurnya, sebaik perlawanan tamat, saya cuba memahami situasi ini... kadang-kadang kita boleh menyalahkan seseorang, sama ada pemain, jurulatih atau sesiapa sahaja, tetapi apa yang berlaku hari ini, saya tidak tahu.
“Kami berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama... (namun) saya tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
NSFC tersingkir daripada saingan selepas tewas 3-4 secara agregat meskipun melakar kemenangan 3-2 ke atas Kelantan City FC di laman sendiri semalam.
Kelantan City FC bertandang ke Paroi dengan membawa bekalan dua gol hasil kemenangan 2-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 2 Sept lepas.
Gimenez dalam pada itu mempertahankan barisan kesebelasan yang diturunkan semalam termasuk pemain utama Mio Tsuneyasu dan Luqman Hakim Shamsudin walaupun mereka baru sahaja pulih daripada kecederaan.
“Mungkin mereka belum bersedia 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu mereka akan memberikan 100 peratus... Ia lebih kepada keazaman untuk menang dan kepercayaan,” katanya.
Mengulas kesilapan Muhammad Azri Ab Ghani yang membolehkan lawan memperoleh jaringan, Gimenez berkata, beliau enggan menyalahkan penjaga gawang itu, sebaliknya, mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap arahan taktikal yang diberikan.
Beralih fokus kepada pertemuan akan datang menentang gergasi Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT), beliau mengakui, tugas berat yang menanti pasukannya dalam perlawanan seterusnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan City FC, Alfredo Carlos Gonzales Machado memuji keazaman tinggi serta mentaliti “tidak pernah menyerah” anak buahnya selepas mencipta kemenangan sensasi secara agregat ke atas skuad Hobin Jang Hobin.
Pengendali dari Amerika Selatan itu berkata, beliau percaya anak buahnya mampu mencipta kejutan meskipun turun sebagai pasukan bukan pilihan.
“Saya berasal dari Uruguay. Sepanjang hidup saya, apabila berdepan Brazil atau Argentina, kami sudah biasa dengan situasi seperti ini. Saya menerapkan kepada pemain mentaliti tidak pernah menyerah, yakin, selain bermain dengan teratur dan tersusun,” katanya.
Ketika ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama, Gonzales berkata, pesanannya kepada pasukan ketika rehat tertumpu pada keyakinan dan penyesuaian taktikal tanpa perlu panik, sambil mengingatkan mereka bahawa kedudukan keseluruhan pertemuan itu masih seimbang.
-- BERNAMA