KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan perkhidmatan doktor udara atau Flying Doctor Services (FDS) di kawasan pedalaman Sarawak, termasuk bagi kes kecemasan perubatan, susulan nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, pada Selasa
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tiada sebab untuk menghentikan perkhidmatan berkenaan memandangkan ia amat diperlukan bagi memastikan liputan kesihatan sejagat, khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
“Kita akan meneruskannya, tiada sebab keperluan khidmat itu (tidak) berterusan. Antara perkara yang penting untuk kita capai dalam perkhidmatan FDS ini adalah apa yang dikatakan sebagai liputan keselamatan kesihatan sejagat.
“Jadi, kita akan teruskan, dengan membuat ‘double down’, iaitu kita akan memperkasakannya serta terus memberikan khidmat," katanya pada sidang media khas berhubung insiden helikopter terhempas semalam, di sini, hari ini.
Smentara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab berkata, aspek keselamatan penerbangan FDS, khususnya penggunaan helikopter, tertakluk kepada bidang kuasa agensi berkaitan.
Beliau berkata KKM akan mengambil kira input daripada pihak berkuasa berhubung aspek keselamatan helikopter sebelum membuat keputusan mengenai penggunaannya bagi meneruskan perkhidmatan FDS.
Menurutnya, FDS mempunyai beberapa komponen termasuk perkhidmatan berjadual yang dilaksanakan sebulan sekali atau setiap dua bulan mengikut keperluan penduduk pedalaman, selain Medevac bagi membawa pesakit kritikal mendapatkan rawatan.
"Buat masa ini, untuk perkhidmatan Medevac, kalau ada keperluan untuk pengangkutan pesakit-pesakit kritikal, dan dalam situasi penerbangan tersebut dibenarkan, tiada isu cuaca dan sebagainya, ia perlu dilaksanakan, disebabkan ia melibatkan pesakit-pesakit kritikal.
"Walau bagaimanapun, yang berkaitan dengan 'scheduled services', di peringkat KKM kita akan tengok balik, dan dari semasa ke semasa kita akan beri input kepada pasukan kita di lapangan," ujarnya.
Medevac merujuk kepada medical evacuation yang bermaksud proses pemindahan pesakit atau mangsa yang cedera ke hospital menggunakan pengangkutan khas untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran STOLport, Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
Media melaporkan lima mangsa dikenal pasti sebagai juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham; pegawai perubatan Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset dan Jessie Paya.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan akan menyiasat kejadian itu mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.