KUALA LUMPUR: Penggunaan lampu amaran atau siren tidak memberi hak eksklusif lalu lintas kepada mana-mana kenderaan untuk mengabaikan lampu isyarat merah atau mengetepikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali, berkata penggunaan lampu amaran khas pada sesebuah kenderaan adalah tertakluk kepada Jadual Keenam (Kaedah 24B), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.
Menurutnya, kenderaan berkenaan hendaklah memberi amaran mengenai kehadirannya melalui siren, loceng atau hon dua nada seperti diperuntukkan undang-undang.
"Sesiapa saja tidak boleh melebihi daripada undang-undang.
"Malah dalam sesi libat urus kita sudah menyatakan dengan jelas, mana-mana kenderaan walaupun dalam situasi kecemasan, apabila sampai di lampu isyarat, kita kena pastikan pengguna jalan raya lain dalam keadaan selamat dulu, kemudian baru kita boleh melintas.
"Ada satu kes sebelum ini pemandu ambulans didakwa. Ini bermakna mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan lampu 'beacon' dan siren untuk melanggar lampu isyarat tanpa melihat kiri dan kanan dulu. Keselamatan pengguna jalan raya lain lebih penting.
"Bagaimana mendesaknya keadaan kecemasan itu, apabila tiba di lampu isyarat, pemandu terlebih dahulu perlu memastikan tiada kenderaan sebelum melintas persimpangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat lokasi kemalangan maut yang mengorbankan tiga beranak selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohammed Hasbullah berkata fakta bahawa lori Jabatan Imigresen berkenaan sedang memberi respons terhadap sesuatu operasi tidak mengecualikan pemandunya daripada mematuhi undang-undang jalan raya.
Katanya, setiap pemandu kenderaan yang menggunakan lampu amaran dan siren tetap bertanggungjawab memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum meneruskan perjalanan, khususnya ketika melalui persimpangan lampu isyarat.
Beliau berkata di bawah Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hak keutamaan mengatasi lalu lintas lain ketika menjalankan tugas kecemasan hanya diperuntukkan kepada kenderaan tertentu.
Katanya, kenderaan berkenaan ialah ambulans, kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Sementara itu, beliau berkata mangsa keempat yang terselamat dalam nahas berkenaan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mangsa yang meninggal dunia ialah suami kepada mangsa yang juga bapa kepada dua anak perempuannya, masing-masing berusia 25 dan 12 tahun, yang turut terkorban.
Pemandu lori terbabit dalam kemalangan itu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur pada Khamis atas lima pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk gagal mematuhi lampu isyarat.