Skip to main content

Malaysia

Nahas ragut nyawa dua remaja: Pemandu kereta didakwa membunuh

TELUK INTAN, 30 Julai -- Pemandu kereta dalam kemalangan mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak pada Ahad lepas, R. Alex didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk dua kesalahan membunuh remaja tersebut._BERNAMA
Pemandu kereta dalam kemalangan mengorbankan dua remaja, R. Alex didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas empat pertuduhan termasuk dua kesalahan membunuh remaja tersebut. - Foto Bernama
Advertisement

TELUK INTAN: Pemandu kereta dalam kemalangan mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak pada Ahad lepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk dua kesalahan membunuh remaja tersebut. 

R. Alex, 28, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Singapura hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan membunuh dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia di Jalan Padang Tembak di sini pada 6.35 petang 26 Julai 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Alex mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan ketiga, iaitu memandu di bawah pengaruh dadah sehingga tidak berupaya mengawal kenderaannya dan mengakibatkan kecederaan kepada pejalan kaki Adam Arjuna Abdullah, 7, di lokasi serta pada masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000 selain di bawah Seksyen 44(3A) akta sama, individu yang disabitkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh minimum tujuh tahun dari tarikh sabitan.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan A. Suresh, 50, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum 12 bulan serta kesalahan dicatatkan pada lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Izzuddin Fakri Hamdan dan Nur Darwis Aghniya Halim Azizi tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan membunuh ialah kesalahan tidak boleh dijamin. 

Peguam Koh Shean Wai yang mewakili Alex tidak membantah perkara itu.

Majistret tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 11 Sept untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, toksikologi serta laporan berkaitan.

Pada Ahad lepas, polis mengesahkan dua remaja perempuan maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Padang Tembak selain seorang kanak-kanak lelaki cedera.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement