MALAYSIA
Nahas van Genting Highlands: Seorang lagi mangsa meninggal dunia

Seorang lagi penumpang van persiaran yang terbabas merempuh konkrit pembahagi jalan di Kilometer 4.8 laluan turun Genting Highlands pada Rabu lalu dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat. - Foto JBPM Pahang
KUANTAN : Seorang lagi penumpang van persiaran yang terbabas merempuh konkrit pembahagi jalan di Kilometer 4.8 laluan turun Genting Highlands dekat sini pada Rabu lalu dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat.
Ia menjadikan jumlah kesemua mangsa maut dalam kejadian itu seramai lapan orang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa berkenaan, Chew Chong Beh, 73 meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 1.46 petang pada Jumaat.
"Sehingga jam 6 petang Jumaat seramai lapan orang mangsa telah meninggal dunia."Enam mangsa cedera yang mana empat daripada mereka kini masih menerima rawatan di HKL, seorang di Hospital Temerloh, manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang ke rumah," katanya dalam satu kenyataan pada hari yang sama.
Dalam kejadian 1.15 tengah hari pada Rabu, van persiaran berkenaan dipercayai dalam perjalanan pulang dari Genting Highland ke Pulau Pinang.
Seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki.
Van terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan mengakibatkan tujuh daripada penumpang maut akibat kejadian itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami