KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Ahmad Fauzi Ismail telah dianugerahkan Hadiah Mustafa 2023, anugerah dwitahunan berprestij bagi meraikan pencapaian luar biasa cendekiawan dan saintis Muslim yang dianjurkan sejak 2015.

Menurut UTM dalam kenyataan, pencapaian itu amat bersejarah dan bermakna memandangkan Ahmad Fauzi merupakan rakyat Malaysia pertama dan warga rantau Asia Tenggara kedua dinobatkan sebagai penerima Hadiah Mustafa.

Ahmad Fauzi kini sebaris dengan cendekiawan terkemuka termasuk Prof Samia J. Khoury dari Lebanon dan Prof Murat Uysal dari Turkiye dalam kategori cendekiawan daripada negara Islam.

"Pengiktirafan terhadap ProfA hmad Fauzi adalah berdasarkan sumbangan besar beliau dalam penyelidikan teknologi membran dan penggunaan yang pelbagai. Impak kajian beliau menjangkau secara global, menerusi janji temu lawatan di institusi berprestij termasuk Imperial College London, Tokyo University dan Kyoto University.

"Peranan pentingnya dalam menubuhkan Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) di UTM telah meletakkan beliau sebagai tokoh peneraju dalam sains dan teknologi membran seluruh dunia," menurut kenyataan itu.

Hadiah Mustafa mengiktiraf saintis Muslim dalam empat kategori iaitu sains dan teknologi informasi dan komunikasi; sains dan teknologi hayat dan perubatan; nanosains dan nanoteknologi; serta semua bidang sains dan teknologi.

Majlis anugerah itu di Isfahan, Iran, menampilkan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan 150 ahli akademik dan saintis terkemuka dunia Islam.

Dalam ucapan penerimaannya, Ahmad Fauzi menzahirkan penghargaan kepada keluarga, UTM dan pelbagai kementerian di Malaysia yang menyokong kerja dan kajian beliau selama ini.

"Penyelidikan, bagi saya, lebih sekadar satu kerjaya, ia adalah minat yang mendalam. Keterujaan menemukan sesuatu yang baharu, pencarian ilmu, sikap ingin tahu yang tidak pernah padam menjadikan saya terus bersemangat," katanya.

Penyelidikan Ahmad Fauzi merupakan nadi kepada pembangunan polimerik inovatif, inorganik dan membran matriks campuran.

Membran perintis ini adalah komponen penting yang digunakan dalam penyahgaraman air, rawatan air sisa, proses pengasingan gas, penapisan minyak sawit serta penciptaan hemodialisis dan membran elektrolit polimer bagi kegunaan sel bahan api.

Pencapaian cemerlang beliau termasuk Hadiah Sains The World Academy 2020, Anugerah Merdeka bagi Pencapaian Akademik Luar Biasa pada 2014, Inovator IChemE Malaysia 2014 dan Anugerah Bintang Penyelidikan Malaysia oleh Clarivate Analytics, menggariskan sumbangan prolifiknya kepada akademia dan industri.

-- BERNAMA