TANJUNG MALIM: Naib Presiden China Han Zheng hari ini melakukan lawatan ke kilang Proton Tanjung Malim dekat sini.

Lawatan beliau diiringi Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Liew Chin Tong.

Turut hadir Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) Eric Lee, Pengerusi DRB-HICOM Berhad Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Pengerusi Proton Holdings Bhd (Proton) Tan Sri Syed Faisal Albar, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dan Timbalan CEO Proton Roslan Abdullah.

Dalam lawatan itu Han dibawa melawat kilang itu di samping melihat model-model yang dihasilkan oleh Proton.

Han tiba di Malaysia malam tadi untuk lawatan rasmi empat hari.

Sementara itu menurut Roslan dalam lawatan tersebut ia menekankan kepentingan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim dan bagaimana China boleh membantu dalam mengembangkan projek AHTV.

"Kita sedia maklum AHTV project melibatkan DRB HICOM dan Geely.

"Di sini kami menunjukkan kepentingan AHTV dan bagaimana kerajaan China boleh membantu melancarkan proses untuk AHTV," katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek AHTV bakal mengubah Tanjung Malim menjadi sebuah hab automotif yang bertaraf global untuk kenderaan tenaga baharu (NEV).

AHTV adalah satu projek mega membabitkan pelaburan berjumlah RM32 bilion yang dipelopori syarikat Geely bersama-sama DRB-HICOM.

-- BERNAMA