KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji perkhidmatan kereta api laju di China, namun berkata keutamaan beliau ketika ini ialah membaiki sekolah.
Ditanya sama ada pengalaman menaiki kereta api berkelajuan tinggi itu memberi idea untuk menambah baik perkhidmatan rel di Malaysia, Anwar berkata kerajaan perlu melihat pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terlebih dahulu.
“Ya, tentu kita tengok khidmat dia dan kelajuannya. Kecepatannya baik. Tapi kita tengok ECRL sajalah dulu.
“Kemudian beberapa langkah lain yang kita buat. Kita tentunya terikat dengan kos, dengan pelaksanaannya, ikut jadual,” katanya kepada pengamal media Malaysia di Hangzhou, China hari ini.
Beliau ditemui ketika menaiki kereta api berkelajuan tinggi menuju ke Hangzhou bagi meneruskan lawatan kerja tiga hari ke China yang bermula semalam.
Pada masa sama beliau turut menyingkap pengalaman menaiki kereta api laju di Jepun serta kereta api dari Paris ke London sebelum ini.
Namun, katanya, terdapat pelbagai keperluan pengangkutan lain yang turut perlu dipertimbangkan.
“Dengan sekolah, saya pilih baiki sekolah dululah,” katanya lagi.